Tema Arab meriahkan Hari Guru KVDLM Tahun 2018 Cetak
Ditulis oleh Administrator   
Rabu, 27 Jun 2018 10:51

REMBAU, 16 Mei 2018 - Sambutan Hari Guru Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja di sini meriah dengan tema pakaian Arab. Program bermula pada jam 2 petang dengan pelajar berkumpul di Dewan Makan Aspuri dan pensyarah berarak masuk dengan memperagakan pakaian masing-masing ala "Mak Arab" dan "Pak Arab".

Acara dimeriahkan dengan persembahan oleh pelajar-pelajar dan guru-guru pelatih. Seterusnya pelbagai anugerah diumumkan oleh pelajar untuk pensyarah. Sesi memotong kek oleh tuan pengarah juga dibuat bagi meraikan semua pensyarah KVDLM.

Majlis kali ini diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Perwakilan Pelajar KVDLM. Menurut penyelaras program, pihaknya menyusun acara yang dapat menonjolkan peranan dan meraikan semua pensyarah pada sambutan Hari Guru kali ini. Justeru itu program Hari Guru kali ini memberi fokus kepada semua guru yang sudah banyak berjasa. Acara sukan permainan telah dilaksankan sebelum hari majlis sambutan kali ini antaranya pertandingan bola sepak, bola jaring dan bowling yang melibatkan pelajar, pensyarah dan PIBG. 

Tema Hari Guru 2018 ialah Guru Pemacu Transformasi Pendidikan. Berikut adalah huraian tema hari guru 2018

GURU PEMACU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

 DEFINISI

  1.  GURU: Guru merupakan individu penting serta berperanan sebagai pendidik yang mendorong, membimbing dan membentuk kemenjadian murid.
  2.  PEMACU: Penggerak yang menggerakkan sesuatu usaha dengan lebih cepat dan berkesan dalam memastikan kejayaan dan pencapaian sasaran.
  3.  TRANSFORMASI: Membawa maksud melakukan perubahan terhadap sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya kepada sesuatu yang lebih baik dan sempurna.
  4.  PENDIDIKAN: Bermaksud perihal mendidik yang merujuk kepada proses atau aktiviti untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang.

HURAIAN

  1. Tema Hari Guru ini dicadangkan untuk menunjukkan bahawa dalam menjayakan transformasi pendidikan negara dan menyahut cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, guru ialah agen penting dalam merealisasi  transformasi melalui peringkat akar umbi pendidikan. Pada peringkat Gelombang 2 PPPM (2016-2020), guru perlu memainkan peranan sebagai pemacu dalam memastikan transformasi negara dapat dicapai dengan lebih cepat dan berkesan. Guru berperanan menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan.
  2. Guru perlu menanamkan keinginan dan hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap murid mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti yang dirangka dalam PPPM 2013-2025. Dalam usaha menuju matlamat Transformasi Nasional 2050 (TN50), guru memainkan peranan yang penting dalam mendidik modal insan yang bakal menerajui negara ke arah menjadi negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.
  3. Dalam konteks Malaysia, transformasi pendidikan mestilah bertunjangkan kepada hasrat melahirkan warga glokal iaitu warga yang berakar nasional dan berakal internasional. Justeru itu, guru perlu sentiasa bersedia untuk berubah, melaksanakan tugas daripada cara biasa kepada yang luar biasa, berdaya tahan, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta world class thinking.

    

   

   

   

   

   

   

   

  

Terakhir Dikemaskini pada Rabu, 27 Jun 2018 11:45